Monday, November 17, 2008

GOLONGAN YANG MEMAYAHKAN HUKUM FIQH

Dipetik dari Dr. Asri (Mantan mufti perlis):


Golongan agama yang lemah inilah yang membesarkan fatwa ‘pintu ijtihad telah tertutup’ lalu mengharamkan segala pandangan baru, hanya kerana mereka jahil mengenainya. Bukan kerana ia bercanggah dengan agama. Golongan agama ini mengasingkan diri dari pentas pengetahuan moden. Mereka kelihatan kolot dan tidak mahu mengambil tahu dunia sekitar. Fatwa-fatwa agama lebih condong kepada pengharaman, sedangkan dalam agama asal sesuatu perkara bersifat mu’amalah adalah harus. Mereka pula menjadikan asal apa yang mereka tidak faham dan tidak tahu adalah haram. Hukum-hakam menjadi sempit. Perbincangan fekah yang diperdengarkan untuk generasi moden seakan untuk manusia pada 1000 atau 500 tahun yang lalu, agar senada dengan teks mazhab tanpa meraikan perkara-perkara yang berlaku dalam fekah. Mereka seakan manusia yang kehilangan kerja, lalu membahaskan masalah mudah menjadi payah. Soal wuduk sahaja disyarah hampir berbulan dengan andaian-andaian yang bukan-bukan. Sedangkan pendengar perlu berwuduk segera, lima kali sehari. Contoh yang lain ialah soal niat yang begitu mudah. Setiap amalan itu dengan niat. Namun ia dibahaskan dengan begitu payah. Diletakkan syarat-syarat yang bukan memudahkan, sebaliknya memayahkan. Persoalan bagaimana hendak melafazkan niatkan sahaja telah mengambil masa umat begitu lama dan berkesudahan dengan bertambah sukar dan was-was dalam solatnya.

Kata Ibn Taimiyyah (meninggal 728H):(Bahkan melafazkan niat itu adalah cacat pada akal dan agama. Adapun pada agama kerana ia adalah bid’ah . Adapun pada akal, kerana ia seperti orang yang hendak makan sesuatu makanan lalu berkata: “Aku berniat meletakkan tanganku pada bekas ini kerana aku hendak mengambil satu suap darinya, lalu aku letakkannya dalam mulutku, lalu aku kunyah kemudian aku menelannya supaya aku kenyang”. Sama seperti orang yang menyebut: “Aku niat bersolat fardu ini pada masuk waktunya, empat rakaat dalam jamaah, tunai kerana Allah”. Ini semua adalah bodoh dan jahil. Ini kerana niat adalah kesampaian pengetahuan. Apabila seseorang hamba Allah tahu apa yang sedang dia buat, maka dengan sendirinya dia telah berniat perkara itu. Tidak terbayang dengan wujud pengetahuan dalam akalnya, untuk dia melakukan tanpa niat. Tidak mungkin pula tanpa pengetahuan, terhasilnya niat. Telah sepakat para imam yang empat bahawa menguatkan suara dalam berniat dan mengulanginya tidak disyariatkan. Bahkan sesiapa yang terbiasa dengan itu hendaklah diberi hukuman (untuk mengajarnya) bagi menghalangnya melakukan ibadah secara bid’ah dan mengganggu orang ramai dengan mengangkat suara.( Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 2/ 95. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyat (1987)

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: (Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was”. (http//:qaradawi.net)

Mereka lupa sifat agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Quran:

Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-‘Araf: 157)

Firman Allah: (maksudnya) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185)

Firman Allah: (maksudnya) Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisa: 28)

No comments: