Monday, November 17, 2008

APABILA USTAZ-USTAZ DARI GOLONGAN LEMAH MINDA

Dialog yang biasa dalam masyarakat melayu:

Isteri: Bang, anak kita si Saleh tu terlalu lemah la dalam pelajaran. Doktor pun kata IQ dia lemah dan keputusan peperiksaan banyak yang gagal terutamanya matematik dan sains. Tapi dia pandai menghafal.

Suami: Apa nak jadi la dengan anak kita tu. Perangai baik tapi IQ rendah. Apa kita nak buat?

Isteri: Apa kata kita hantar dia ke sekolah pondok. Kalau dia pandai menghafal bagi dia belajar agama je lah. Hati kita pun sejuk je kan bang?

Suami: Betul juga tu. Itu cadangan yang baik. Nanti kita hantar dia ke sekolah pondok ya.

Maka belajarlah si Saleh di sekolah pondok dan melanjutkan pengajian agamanya ke peringkat lebih tinggi. Maka lahirlah seorang ustaz yang rendah IQ nya.


Golongan Agama Yang Lemah


Dalam sejarah Islam, golongan agama adalah tonggak kepada kebangkitan umat. Islam yang syumul telah membentuk pemikiran para ulama agar kritis, maju dan membangun. Golongan ulama yang berkualiti ini terus wujud di sepanjang zaman. Namun jumlah dan penguasaan mereka berbeza dari satu zaman ke satu zaman. Jumlah para ulama yang berkualiti seperti yang disebut dalam hadith ini adalah kurang:

“Akan selalu membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil” (Hadith ini hasan. Para ulama berkhilaf pendapat mengenai kedudukan hadith ini. Sebahagian mereka mensahihkan, sebahagian mendhaifkannya. Ibn al-Qayyim dalam Miftah Dar al-Sa‘adah menyatakan hadith ini thabit. Beliau menghimpunkan jalan-jalan periwayatan hadith. Beliau turut menyebut kata-kata al-Imam Ahmad: “Ia hadith sahih” (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Miftah Dar al-Sa‘adah, m.s 227-229, Saudi: Dar Ibn Hazm). ‘Ali Hasan al-Halabi menilai hadith ini sebagai hasan disebabkan jalan periwayatan yang banyak. (Sadiq Hasan Khan, Al-Hittah fi Dhikr al-Sihah al-Sittah, tahqiq: ‘Ali Hasan al-Halabi, Beirut: Dar al-Khail). Demikian Salim bin ‘Id al-Hilali menyatakan hadith ini hasan. Bahkan beliau menulis buku khas menerangkan kesabitan hadith tersebut (lihat: Salim bin ‘Id al-Hilali, Limadha Akhtartu al-Manhaj al-Salafi, m.s. 63 Saudi: Dar Ibn al-Qayyim (2000)

Walaupun wujud, tetapi tidak ramai. Mungkin juga banyak ulama seperti itu, dan pengikut mereka juga ramai, namun secara nisbah jumlah umat yang wujud, mereka masih dianggap kecil.

Kata Muhammad Qutb ketika membincangkan tentang kemunduran ilmu, tamadun, ekonomi pemikiran dan budaya di Dunia Islam: “Dari sudut yang lain, dijumudkan ilmu-ilmu syarak dalam bentuk yang dipelajari sebelum lima kurun lalu - sekurang-kurangnya-. Ditambah dengan masuk ke dalamnya serangan pemikiran Greek dari ilmu kalam yang tidak berguna dan bermanfaat. Lebih dari itu ilmu kalam telah menukarkan pengajian akidah kepada perkara-perkara yang menyusahkan minda lagi tidak berguna dan memayahkan. Mengubah akidah dari inti kandungan yang hidup kepada isu-isu falsafah yang membawa kepada pertengkaran tanpa sebarangan natijah dan tujuan. Lebih daripada itu pelajar-pelajar agama telah bertukar menjadi para penghafal bukan pemikir. Seseorang pelajar kelihatan berilmu hanya dengan kadar apa yang dia hafal daripada teks, syarah dan nota kaki. Namun dia tidak dapat berfikir untuk dirinya dan tidak juga dapat berfikir secara sendiri. Maka para ulama kehilangan keaslian ilmu, jadilah mereka itu golongan taklid yang hanya memetik dari orang lain. Bahkan ditambah lagi keburukan ketiga, iaitu taksub mazhab yang mengenai keseluruhan para pelajar. Setiap orang taksub dengan mazhab yang dia membesar di dalamnya. Dia menjadikan kemuncak jihadnya untuk agamanya, semata-mata untuk membuktikan mazhab dan syeikhnya melebihi mazhab dan syeikh orang lain..”.( Muhammad Qutb, Waqi‘una al-Mu‘asir, m.s. 176.)

Golongan agama dikuasai oleh golongan yang lemah kemampuannya. Singkat pula penguasaannya terhadap nas-nas agama dan pengetahuan semasa. Golongan yang mempelajari agama bukan lagi terpilih. Sehingga orang melayu umpamanya, menganggap mana-mana anak yang kurang kemampuan akademik, dihantar ke pengajian agama atau pondok. Akhirnya lahirlah golongan ustaz dan tok guru yang lemah kekuatan minda dan analisanya.

Serentak dengan kekuatan kebendaan yang muncul di Barat, kekuatan institusi agama pula bertambah lemah. Pengajian agama dibentuk dengan begitu sempit dengan nilai-nilai taksub mazhab, lalu mereka membela mazhab melebihi dari membela Islam. Di samping mereka pula terpencil dari dunia akibat diracun pemikiran kesufian yang melampau dan terbabas, memusuhi perkara-perkara baru yang mereka jahil mengenainya. Ini seiras dengan tindakan gereja yang membawa kebangkitan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis.

No comments: