Saturday, November 15, 2008

BERSOLEK DIBENARKAN UNTUK WANITA


Di dalam surah al-Nur, ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa keliahtan padanya, dan hendaklah mereka meletakkan penudung pada dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."

*****
Di atas adalah di antara nash syar'I yang menjadi dasar berpakaian dalam Islam dan berhias (utk wanita).

Kemudian pada ayat lain Allah berfirman:
"dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)

Ayat ini pula menceritakan tentang larangan bertabarruj sebagaimana orang jahiliah dahulu.

**************
Apa itu tabarruj yang di maksudkan di dalam firman Allah:
"dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu (pertama)". (Al-Ahzab:33)

Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.

Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Tabarruj berasal dari kata BARAJUN, bererti luas. Dan ada yang mengatakan ia berasal dari kata BURJUN yang bererti tinggi.

************

Selesai mengenai erti tabarruj Dan, lihat kembali ayat al-Quran: ".orang-orang jahiliyah dahulu."

Tabarruj yang dikaitkan dengan orang-orang jahiliyah dahulu. Siapakah mereka itu? Pada zaman mana orang-orang jahiliyah dahulu berada? Di dalam tafsir al-Qurthubi menyatakan beberapa pendapat mengenainya:
1. Iaitu masa antara Adam dan Nuh a.s., ini adalah pendapat al-Hakam bin Uyainah.
2. Ibnu Abbas berpendapat: Masa di antara Nuh dan Idris a.s.
3. Al-Kalbi: Masa di antara Nuh dan Ibrahim a.s.
4. Jamaah: Masa di antara Musa dan Isa a.s.
5. Abu Aliyah: Masa di antara Daud dan Sulaiman a.s.
6. Al-Sya'bi: Masa di antara Isa a.s. dan Muhamad s.a.w.

Namun semua pendapat itu tidak disandarkan dengan satu sumber yang kukuh dan sahih. Cuma yang pasti, semua mereka di atas bersepakat mengatakan bahawa jarak masa antaranya dan masa Nabi Muhamad dibangkitkan sebagai Rasul adalah jauh (jangkamasa yang begitu lama). Dan, apabila al-Quran menyebutkan "jahiliyah dahulu" - dahulu/lama/pertama - bermaksud di sana ada yang dikatakan sebagai `jahiliah baru' atau `jahiliyah kedua'.

Bila masa jahiliyah kedua berada? Iaitu selepas jahiliyah pertama dan sedikit masa sebelum kebangkitan Nabi kita Muhamad s.a.w.

Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj? Buruk sangatkah mereka ini? Hodoh sangatkah perangai depa ni? Ya, gambarannya lebih kurang begini:
Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal pakaiannya - memakai baju dari lu'lu', atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.

Era jahiliyah kedua yang akan berhubung dengan era kebangkitan Muhamad sebagai rasul tidaklah sampai ke peringkat begitu teruk. Namun ada juga sedikit sebanyak tabarruj yang berlaku, hingga kadangkala sampai ke peringkat telanjang terus. Ini dapat dibuktikan melalui hadis riwayat Muslim, bagaimana kaum wanita zaman itu bertawaf dalam keadaan telanjang bulat.

Sekarang ini jelaslah sudah mengapa Allah mengaitkan al-jahiliyah al-`Ula (jahiliyah pertama/dahulu) dengan tabarruj. Dan, dengan penjelasan di atas tidaklah bermakna yang terlarang ialah bertabarruj seburuk orang-orang jahiliyah pertama, kalau kurang daripada itu tidak mengapa. Tak apalah kalau tabarruj sikit-sikit. Ini adalah fahaman yang salah, kerana Allah menyebutkan sifat-sifat tabarruj jahiliyah pertama adalah bertujuan memberi penjelasan realiti yang berlaku ketika itu, bukannya mahu mengaitkan pengecualian hukum selain daripada itu. Ia lebih berbentuk penjelasan tentang keji dan berlawanannya perbuatan itu dengan citarasa serta naluri kemanusiaan.

Perlu diingatkan bahawa maksud tabarruj yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat - berdasarkan kepada siapa dia berhadapan. Kalau di hadapan dengan lelaki asing, apa yang perlu ditutup. Jika tidak memenuhi kehendak ini, maka dia sudah tergolong di dalam perempuan yg bertabarruj. Begitulah seterusnya ketika di hadapan mahram, orang gaji dsbnya

Ya, selesailah sudah penjelasan mengenai tabarruj. Saya harap ia mudah difahami dan tidak membosankan. Dan, kita teruskan lagi ke pembahasan selanjutnya. Kali ini mengenai berhias pula.

Mari kita lihat lagi firman Allah:
Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melatakkan penudung pada dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.. (al-Nur, ayat 31)

Kita ambil sedikit petikan ayat: ..dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya.

Terjemahan ayat : kecuali yang biasa kelihatan padanya.. dapat juga diterjemahkan: kecuali apa yang zahir (illa ma zahara). Pada ayat ini Allah Taala melarang wanita mempamirkan perhiasan, kecuali apa yang zahir. Persoalannya di sini ialah, apa maksud perhiasan zahir yang boleh dipamirkan? Jadi, dapat difahami bahawa perhiasan ada dua:
1. Yang zahir/nyata
2. Yang tidak zahir/nyata (batin/dalaman/tersembunyi)

Apakah perhiasan zahir? Apakah pula perhiasan yang tidak nyata? Para ulama yang mengatakan muka dan rambut itu adalah aurat, mereka menafsirkan bahawa perhiasan yang zahir itu ialah pakaian itu sendiri. Bila wanita berpakaian, bertudung dan menutup muka, maka itulah dia maksud perhiasan yang zahir. Perhiasan yang tidak nyata pula ialah, rantai leher, gelang, anting-anting dsbnya..

************


Mereka yang memasukkan celak dan pewarna telapak tangan sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan di hadapan lelaki ajnabi tidaklah dihadkan terhadap dua perkara itu sahaja. Ia disebutkan hanyalah sebagai wakil dari perhiasan-perhiasan lain yang biasa digunakan pada muka atau telapak tangan. Ia berdasarkan adat, tradisi dan kebiasaan satu-satu kelompok masyarakat. Berikut ini adalah antara perhiasan yang ada dan biasa digunakan oleh para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w atau tradisi arab dahulu:
1. Khidhab Pewarna untuk tangan
2. Shufrah Pewarna kuning untuk wajah
3. Kalkun Pewarna untuk memerahkan wajah
4. Isfidaj Pewarna putih untuk wanita berhias.
5. Celak Berhias pada mata
(Nanti akan disertakan dalil tentang kewujudan perhiasan ini)

***********
Zaman kita ini sudah tentu yang biasa digunakan sebagai perhiasan muka ialah gincu, bedak, losyen dan juga celak. Jadi, bila celak dan segala macam di atas itu boleh, mengapa tidak gincu? Sebab yang dibenarkan bukanlah diri celak itu secara khusus tetapi sesuatu yang lebih umum iaitu perhiasan yang biasa dilihat, yang biasa digunakan pada muka. Dan gincu serta bedak adalah termasuk di bawah keumuman ini.

Begitu juga dengan perwarna kuku, ia termasuk di bawah perhiasan yang boleh dipamerkan tetapi hendaklah dari bahan yang tidak menghalang air. Kerana jika air terhalang dari sampai ke kuku akan mengakibatkan wuduk tidak sah.

Berikut ini adalah sebahagian dalil kewujudan perhiasan di atas:

Dari Zainab binti Abu Salamah, dia berkata: Ketika datang berita kematian Abu Sufian dari Syam, Ummu Habibah meminta diberikan wangi-wangian berwarna kuning pada hari yang ketiga. Lalu dia mengusapkannya pada kedua pipinnya dan kedua lengannya. Dia berkata: Sesungguhnya aku benar-benar tidak memerlukan ini, kalaulah bukan kerana aku pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari kemudian untuk berkabung atas mayat lebih dari tiga hari, kecuali atas suami, maka dia berkabung atasnya empat bulan sepuluh hari. (HR Bukhari & Muslim)

Wangi-wangian di dalam hadis bermaksud pewarna yang menyerlah warnanya dan tersembunyi baunya (tidak menyerlah dan menyemarak). Adakalanya ia disapukan di muka untuk memperelok warna muka atau pada telapak tangan.

Wajib berhias setelah tamat tempoh 3 hari berkabung kerana kematian, kecuali kematian suami yang tempoh perkabungan adalah selama 4 bulan 10 hari. Berhias di sini adalah untuk keluar dari tempoh perkabungan.

Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbaiah kepadanya, tetapi perempuan itu tidak ber ikhtidab, sehingga baginda tidak mahu membaiahnya melainkan setelah ber-ikhtidab (HR Abu Daud)

Ikhtidab ialah sejenis pewarna yang biasa digunakan pada telapak tangan pada zaman itu.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Wangi-wangian lelaki adalah apa yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Dan perhiasan wanita ialah apa yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya (HR al-Tarmizi)

Dari Imran bin Husin, bahawa Nabi Allah s.a.w. bersabda: ingatlah bahawa wangi-wangian lelaki adalah bau tanpa warna. (HR Abu Daud)

Dari Ummu Athiyah, dia berkata: Adalah kami dilarang untuk berkabung terhadap seorang mayat lebih dari tiga hari, kecuali terhadap suami, maka empat bulan sepuluh hari. Kami tidak boleh bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian bercelup. (HR Bukhari & Muslim)

*********
Apabila kita menerima hujah yang mengatakan bahawa perhiasan yang zahir atau yang biasa dilihat itu adalah celak, gincu, bedak dan segala suku-sakatnya, maka perlu kita ketahui juga batas-batas yang perlu dipelihara. Iaitu:
1. Memelihara niat dan tujuan berhias. Tidak bertujuan untuk menarik pandangan dan perhatian lelaki ajnabi.
2. Dari segi praktiknya hendaklah bertepatan dengan niatnya. Iaitu tidak berhias secara berlebih-lebihan hingga atau yang dapat menarik perhatian serta menggugah perasaan lelaki ajnabi. Seperti bercelak dengan cara dan gaya yang dapat menarik perhatian. Atau bergincu dengan warna yang begitu menyerlah merah menyala-nyala. Atau berbedak dengan bedak yang berwarna warni. Di tambah dengan keharuman yang menyemarak. Atau memanjangkan kuku. Atau sebagainya.
3. Tidak dari bahan yang mengeluarkan bau wangi dan harum menyemarak serta tersebar. Boleh dari bahan yang wangi tetapi yang tersembunyi baunya.

Ya, pokoknya bersoleklah secara sopan, bersahaja dan kemas serta menampilkan ciri-ciri wanita yang baik. Tidak kelihatan seperti wanita yang mahu memikat lelaki atau ciri-ciri wanita fasiq dsbnya. Seperti kita lihat ramai wanita hari ini yang bersolek mengenakan gincu, bedak dan segala macam Melebihi dari sekadar yang dibenarkan oleh syarak. Mereka ini berhias begini hanya diluar rumah sahaja, sedangkan ketika bersama suami keadaan adalah sebaliknya.

Lebih baik lagi jika diniatkan solekan itu sekadar untuk mengelakkan diri dari kusut masai, berserabut dan tidak terurus. Berginculah sekadar mahu mengelakkan diri dari kelihatan lesu, tak bermaya dan tidak cergas. Berbedak atau berlosyenlah sekadarnya sahaja dengan tujuan mahu menjaga kesihatan kulit muka dsbnya.

Ya.. Kalau bersolek itu tidak boleh, silakan saja. Pergilah ke pejabat atau mengajar ke sekolah, dan jangan bersolek samasekali. Pergilah dalam keadaan kusut masai dengan muka seperti orang yang belum mandi. Kelihatan lesu. Pakaian pula tidak bergosok. Berkedut sana dan sini. Baju bergosok, haram katanya. Ditambah lagi dengan bau peluh yang kurang enak dan menyengat hidung. Pakai wangian walaupun yang baunya tersembunyi utk menghindarkan dari bau peluh, juga haram katanya. Ya.. silakan saja..

Sudah tentu para wanita muslimah dapat menggambarkan bagaimana cara hendak menghindarkan keadaan di atas. Dan.. Kalau sudah dapat menggambarkannya, itulah dia solekkan yang dibenarkan oleh syarak ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Sekadar mahu mengelakkan diri dari kusut masai dan nampak tidak terurus.

Bukan sekadar lipstik, malahan umumnya wanita memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolek. Sebab sudah memang naluri semulajadi mereka sukakan begitu. Syeikh Athiyah Saqar mengatakan: Memperelok /menghias diri oleh seseorang manusia secara umumnya mempunyai kepentingan/kebaikan. Dan secara khususnya, menghias diri bagi seorang wanita mengandungi mara bahaya. Kecantikan adalah satu perkara yang disukai oleh jiwa/naluri. Ia mempunyai tempat di dalam agama, di mana ia dituntut secara syarak dengan kadar yang dapat membawa kepada tujuan yang baik darinya, serta terhindar dari perkara-perkara yang diharamkan dari sudut cara, tujuan dan maksud.

No comments: